Dakwaan Perebutan Kuasa Dalam PBB Tidak Berasas: Datuk Amar Awang Tengah

Posted on 22 Jul 2025
Source of News: UKAS


LAWAS: Timbalan Premier Sarawak merangkap Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan bahawa dakwaan kononnya berlaku perebutan kuasa dalam PBB adalah tidak berasas dan langsung tidak bertanggungjawab.

Beliau menyifatkan laporan oleh sebuah portal berita baru-baru ini sebagai 'berita sampah' yang tidak bersandarkan sumber sahih dan bercanggah dengan etika kewartawanan.

“Saya sendiri terkejut apabila dikaitkan dalam kononnya wujud perebutan kuasa dalam PBB. Yang empunya badan pun tidak tahu-menahu, apatah lagi merancang perkara sebegitu.

“Laporan itu tiada asas dan langsung tidak mempunyai kredibiliti. Tidak dinyatakan pun dari mana sumbernya,” katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat PBB Cawangan Bukit Sari di sini, baru-baru ini.

Datuk Amar Awang Tengah turut menegaskan komitmennya terhadap prinsip kesetiaan kepada kepimpinan parti serta perpaduan sebagai asas kekuatan PBB sejak dahulu lagi.

“Saya dididik oleh tokoh besar seperti Allahyarham Tun Pehin Sri Taib Mahmud, Allahyarham Tok Nan dan kini di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, kesetiaan dan keutuhan parti sentiasa menjadi keutamaan saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menolak sekeras-kerasnya sebarang budaya politik berpuak atau permainan kuasa yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan parti.

“Kita dalam PBB sentiasa bekerja sebagai satu pasukan, bukan bermain belakang. Parti ini diasaskan atas perjuangan untuk rakyat, bukan untuk agenda peribadi,” tegasnya lagi.

Beliau turut menyeru rakyat Sarawak agar tidak mudah terpengaruh dengan tohmahan pihak luar yang disifatkan sebagai cubaan untuk menggugat kestabilan dan kejayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mentadbir negeri.

“Pihak luar mungkin cuba menimbulkan persepsi seolah-olah berlaku keretakan dalam PBB. Namun hakikatnya, kita kukuh, bersatu dan terus fokus membangunkan negeri demi kesejahteraan rakyat,” tambah beliau. –EDISI UKAS