Kualiti Udara Di Sarawak Mula Menunjukkan Tren Peningkatan

Posted on 21 Jul 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Kualiti udara ambien di Sarawak menunjukkan tren peningkatan dari segi bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sejak 19 Julai lalu.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak hari ini, tiga kawasan mencatatkan bacaan IPU dalam kategori Baik, manakala 15 kawasan lagi berada dalam kategori Sederhana.

Bagaimanapun, tiada kawasan direkodkan berada pada tahap Tidak Sihat setakat 8 pagi ini.

Kenyataan sama memaklumkan, keadaan tersebut berlaku dalam konteks Monsun Barat Daya yang bermula pada 10 Mei dan dijangka berakhir pada September 2025.

Monsun ini menyumbang kepada tiupan angin yang konsisten dari arah barat daya, sekali gus meningkatkan risiko berlakunya jerebu rentas sempadan ke Sarawak.

Dalam tempoh 14 hingga 20 Julai, data Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) menunjukkan hanya empat titik panas dikesan di Sarawak. Namun begitu, sebanyak 114 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia, dengan 93 daripadanya muncul hanya dalam tempoh dua hari, iaitu pada 19 dan 20 Julai lalu.

Sehubungan itu, NREB telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya jerebu, termasuk

Sehubungan itu, pihak NREB telah mengambil pelbagai langkah proaktif, termasuk, mengaktifkan bilik operasi jerebu, menjalankan rondaan lapangan secara berkala, memberhentikan pengeluaran permit pembakaran terkawal, mengeluarkan notis larangan pembakaran terbuka kepada pemaju projek, serta melaksanakan kempen kesedaran awam bersama agensi-agensi berkaitan.

Orang ramai disaran supaya bersama-sama membantu mencegah jerebu dengan mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka, terutamanya ketika cuaca panas dan kering.

NREB turut menegaskan bahawa individu yang didapati melakukan pembakaran terbuka boleh didakwa mengikut Seksyen 30(1)(a) dan 30(2), Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (Cap. 84 – Undang-Undang Sarawak, Edisi 1958), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000, penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, orang awam diingatkan agar minum air secukupnya, menghadkan aktiviti luar, dan memakai topeng muka jenis N95, khususnya golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai penyakit pernafasan.

Sebarang aktiviti pembakaran terbuka boleh dilaporkan kepada Pejabat NREB yang berdekatan atau menerusi Hotline NREB di 082-447488 / 082-319500.

NREB memberi jaminan bahawa segala maklumat yang disalurkan akan dirahsiakan di bawah Seksyen 38 Ordinan yang sama.-EDISI UKAS