BETONG: Sukan elektronik atau e-sukan bukan sekadar platform hiburan, sebaliknya mampu menjadi pemangkin pembangunan belia dari pelbagai sudut termasuk kerjaya, kemahiran insaniah dan keupayaan pemikiran kritikal.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, pertandingan seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu dalam arena e-sukan, malah memberi peluang kepada belia untuk membina kemahiran seperti kerjasama berpasukan, komunikasi, perancangan strategik serta daya tahan mental.
“Kadang-kadang ada pihak yang pandang serong belia yang bermain e-sukan. Namun bagi saya, penglibatan di dalam e-sukan boleh menajamkan minda dan memupuk pemikiran kritikal.
“Kemahiran ini penting di dalam kehidupan sebenar, semasa menghadapi apa-apa cabaran, membentuk sikap penyelesaian masalah, berdaya tahan dan perancangan strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Rasmi Pertandingan E-Sukan Terbuka Bahagian Betong 2025 yang berlangsung di SMK St Augustine Betong pada Ahad.
Tambah beliau, e-sukan kini diiktiraf sebagai satu industri yang mempunyai potensi pulangan lumayan dan semakin berkembang pesat seiring dengan pembangunan teknologi digital masa kini.
“Kita percaya bahawa e-sukan bukan sekadar permainan, tetapi satu platform strategik untuk membina kerjasama berpasukan, kemahiran komunikasi, keupayaan taktikal dan juga peluang kerjaya.
“Dengan pendekatan yang betul, e-sukan boleh menjadi satu cabang pembangunan belia yang inklusif dan mampan,” jelas beliau.
Pertandingan itu menyaksikan penyertaan sebanyak 44 pasukan melibatkan 246 orang peserta dari sekitar Betong dan kawasan luar, terdiri daripada 18 pasukan bagi kategori PUBG Mobile dan 26 pasukan bagi kategori Mobile Legends: Bang Bang.
Kejohanan ini telah dimenangi oleh pasukan RSQ NEW ERA yang muncul juara bagi kategori PUBG Mobile, diikuti Team Vazealliance Sally di tempat kedua dan Team Foxeyes Esport di tempat ketiga.
Bagi kategori Mobile Legends: Bang Bang pula, Team Lima Sekaban dinobatkan sebagai juara, manakala tempat kedua disandang oleh Team GG Tigabelas dan tempat ketiga milik Team Otai Crazy Academy.-EDISI UKAS