Bangga Munap Dilantik Sebagai Penghulu Kawasan Melugu-Dau

Disiarkan pada 20 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


MELUGU: Bangga Munap telah dilantik sebagai Penghulu bagi kawasan Melugu-Dau dalam majlis pelantikan rasmi diadakan dengan penuh adat dan kesederhanaan di Dewan Chendan, Melugu Skim pada Ahad.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Datuk Mong Dagang yang hadir bagi menyampaikan ucapan tahniah serta memberi kata-kata semangat kepada penghulu yang baharu dilantik.

Beliau menekankan kepentingan peranan penghulu dalam menyampaikan dasar kerajaan dan membantu rakyat luar bandar agar tidak terpinggir daripada arus pembangunan.

“Kerajaan amat menghargai sumbangan penghulu sebagai penghubung utama antara rakyat dan agensi kerajaan. Saya yakin Bangga akan memikul amanah ini dengan dedikasi,” ujar beliau.

Pada majlis sama, Datuk Mong turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM7,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan RM3,000 kepada Biro Wanita Rumah Panjang Jembai Munap, Melugu.

Turut diadakan penyampaian geran bernilai keseluruhan RM35,000 kepada lima organisasi tempatan.

Sementara itu, Bangga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri serta masyarakat tempatan atas kepercayaan yang diberikan.

"Saya amat berbesar hati menerima tanggungjawab ini.

“Pelantikan ini bukan sekadar satu jawatan, tetapi satu amanah untuk memelihara keharmonian, memperkukuh perpaduan dan membawa suara rakyat kepada pihak kerajaan," jelasnya. - EDISI UKAS