Kayuhan Amal Saribas Erat Silaturahim, Semarakkan Gaya Hidup Sihat

Disiarkan pada 20 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


DEBAK: Lebih 50 peserta terdiri daripada penduduk tempatan, ahli persatuan berbasikal dan sukarelawan menyertai Kayuhan Amal Saribas 2025 yang diadakan di Riveria Sport Centre, Debak pada Ahad.

Program berteraskan kesukarelawanan dan gaya hidup sihat itu menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti luar bandar.

Di samping itu, ia turut memupuk kesedaran tentang kepentingan kesihatan fizikal melalui aktiviti berbasikal.

Majlis pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Datuk Mohamad Razi Sitam.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau menyokong inisiatif seperti ini sebagai satu pendekatan positif ke arah membentuk masyarakat sihat dan bersatu padu.

Katanya, program ini merupakan anjuran Persatuan Berbasikal Bahagian Betong dengan kerjasama Baitulmal Cawangan Betong serta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Sarawak.

Jelas beliau, penyertaan aktif daripada pelbagai lapisan masyarakat jelas mencerminkan semangat kebersamaan yang semakin kukuh di kawasan Saribas.-EDISI UKAS