DEBAK: Pembinaan Masjid Baharu Daerah Debak bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan rohani dan fizikal komuniti Islam setempat apabila siap sepenuhnya menjelang September 2025.
Projek tersebut menerima perhatian serius daripada kerajaan negeri apabila Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam Sarawak) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, turun padang mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan di Kampung Babu pada Ahad.
Beliau meninjau sendiri kemajuan kerja pembinaan serta menerima taklimat daripada pihak konsultan dan kontraktor.
Menurut beliau, projek ini bukan sahaja menyediakan kemudahan beribadah yang lebih selesa dan moden kepada masyarakat Islam di Debak, malah berpotensi menjadi pusat aktiviti sosial dan pembangunan komuniti yang lebih holistik.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Saribas, Datuk Mohamad Razi Sitam yang turut berkongsi perancangan susun atur kawasan dan halatuju pembangunan sekitar masjid.
Hadir sama ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Pembantu Tadbir Menguasa Daerah Kecil Debak Mohd Khairurani Mohd Ibrahim, wakil agensi teknikal, kontraktor pelaksana serta pemimpin masyarakat tempatan.-EDISI UKAS