MIRI: Kesedaran masyarakat pesisir terhadap isu keselamatan dan kedaulatan negara di kawasan perairan terus diperkukuh menerusi program “Juh Ngopi Bersama Komuniti” yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Pulau Melayu, di sini pada Ahad.
Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Leftenan Komander Maritim Muhd Firdaus Saniman berkata, program seumpama ini merupakan platform penting bagi membentuk jaringan komunikasi yang lebih efektif antara agensi penguatkuasa dan masyarakat tempatan dalam menghadapi pelbagai ancaman di laut.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman komuniti terhadap tanggungjawab bersama menjaga keselamatan laut, malah memperkukuh hubungan antara agensi maritim, industri dan penduduk setempat.
“Kita berdepan isu seperti pencerobohan nelayan asing, penyeludupan serta pencemaran laut. Justeru, kerjasama komuniti amat penting untuk menjadi mata dan telinga dalam membantu tugas penguatkuasaan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar (Pengeluaran) PETRONAS Carigali Sdn Bhd, Bobby Ranggau menegaskan bahawa program ini mencerminkan komitmen berterusan pihak industri terhadap keselamatan komuniti maritim dan kesinambungan aktiviti perikanan.
“Sejak tahun 2022, kami di PETRONAS telah menjalankan pelbagai program kemasyarakatan bagi membina hubungan jangka panjang bersama komuniti pesisir.
“Melalui program hari ini, kami amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh masyarakat Kampung Pulau Melayu yang menerima baik kehadiran kami dalam usaha memperkukuh keselamatan dan kelestarian kawasan perairan negara,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai pengisian seperti penyampaian sumbangan kepada wakil nelayan Kampung Pulau Melayu, penyampaian watikah pelantikan Kampung Angkat Zon Maritim, dan perasmian papan tanda keselamatan.
Turut diadakan ialah sesi penyerahan cenderamata daripada pihak PETRONAS kepada APMM serta acara cabutan bertuah yang menambah keceriaan kepada para hadirin.
Program ini turut membuka ruang kepada penduduk, media dan pihak penganjur untuk berinteraksi dalam suasana santai dan terbuka, sejajar dengan semangat keterangkuman dan sinergi yang menjadi tunjang utama penganjurannya.
“Juh Ngopi Bersama Komuniti” jelas membuktikan keperluan kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan, sektor industri dan komuniti dalam memastikan kawasan perairan negara terus selamat dan lestari untuk generasi akan datang.-EDISI UKAS