DEBAK: Malam penuh makna menyinari SMK Saribas apabila Majlis Malam Nirmala Budi disambut dengan meriah pada Sabtu sempena perasmian Dewan Akademia yang menjadi simbol kebanggaan warga sekolah dan komuniti setempat.
Majlis gilang-gemilang ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam.
Turut hadir ialah Pengetua SMK Saribas Nur Liana Lim Abdullah, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Saribas Abg Akim Abg Hamzah serta wakil Pejabat Daerah Kecil Debak.
Dalam ucapannya, Datuk Mohammad Razi menzahirkan rasa bangga atas usaha kolektif warga sekolah, PIBG dan komuniti dalam merealisasikan pembinaan Dewan Akademia yang menurutnya bukan sekadar struktur fizikal tetapi simbol iltizam bersama dalam melonjakkan kecemerlangan pendidikan.
“Dewan ini adalah taman intelek, wadah bakat dan pentas jati diri. Ia bakal menjadi medan strategik untuk memperkasa pelajar dari aspek akademik, sahsiah dan kepimpinan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan dewan tersebut sebagai pemangkin kepada pertumbuhan pendidikan di Zon Debak dan mencerminkan aspirasi Saribas dalam melahirkan generasi pelajar yang holistik dan berdaya saing.
Sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan di kawasan ini, beliau turut mengumumkan beberapa sumbangan iaitu sebanyak RM20,000 melalui Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada PIBG SMK Saribas, RM7,000 kepada Rimbas TV sebagai galakan aktiviti kesedaran digital sekolah dan RM5,000 kepada Kelab Tingkatan Enam.
Selain itu, insentif pendidikan berjumlah RM43,000 turut disampaikan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM) 2024 sebagai penghargaan atas pencapaian akademik mereka.
Majlis turut diserikan dengan persembahan pelajar, tayangan montaj video kenangan dan sesi penghargaan kepada penyumbang utama projek pembinaan dewan.
Perasmian Dewan Akademia ini melakar satu lagi sejarah penting dalam pembangunan SMK Saribas sekali gus memperkukuh peranan institusi pendidikan sebagai jantung komuniti yang progresif dan inklusif.-EDISI UKAS