SPAOH: Spaoh Agrofest 2025 dijangka menarik kehadiran seramai 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 25 hingga 27 Julai ini, dengan anggaran hasil jualan produk pertanian mencecah RM160,000.
Maklumat itu dimaklumkan oleh Pegawai Pertanian Bahagian Betong, Ahmad Arisa Kachon dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Daerah Kecil Spaoh baru-baru ini.
Menurut beliau, festival ini merupakan inisiatif strategik bagi memperkukuh ekosistem agrokomoditi tempatan serta memperkasakan para pengusaha tani di kawasan Betong.
“Penganjuran Spaoh Agrofest bukan sahaja membuka peluang pemasaran kepada usahawan tani luar bandar, malah memperkukuhkan kesinambungan usaha kerajaan dalam menjamin keterjaminan bekalan makanan negara,” katanya.
Festival ini turut menampilkan Program Jualan Rahmah Madani dan Program Jualan Agro Madani sebagai antara tarikan utama, selaras dengan usaha kerajaan menstabilkan harga barangan asas dan memberi manfaat terus kepada rakyat.
Selain itu, orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan festival yang akan menampilkan pelbagai produk segar, makanan berasaskan hasil tani, aktiviti interaktif serta pameran pertanian.
Spaoh Agrofest dijangka menjadi platform terbaik dalam menjana semangat keusahawanan dan meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar, khususnya dalam sektor pertanian.-EDISI UKAS