DEBAK: Program 1000 Liga anjuran Kementerian Belia dan Sukan Bahagian Betong melabuhkan tirainya dengan meriah dalam satu majlis penutupan di Riveria Sport Centre, Debak, pada Sabtu.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam.
Program yang berlangsung sejak beberapa hari lalu menghimpunkan pelbagai acara sukan termasuk pertandingan dart, snuker, catur, olahraga dan pingpong melibatkan lebih 100 penyertaan daripada kalangan belia tempatan.
Dalam ucapannya, Datuk Mohammad Razi menyifatkan penganjuran program seperti ini sebagai langkah penting dalam usaha mencungkil bakat baharu dalam kalangan belia luar bandar, selain memupuk gaya hidup sihat dan semangat kesukanan.
“Aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat mengetengahkan bakat belia tempatan, malah menjadi platform untuk mereka melangkah ke peringkat lebih tinggi dalam bidang sukan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta berharap program seumpama ini diteruskan secara berterusan demi pembangunan sahsiah dan potensi belia di kawasan luar bandar.-EDISI UKAS