Datuk Amar Dr Sim Serah Mesin AED Kepada Briged Sarawak PGA, Bantu Tingkat Kesiapsiagaan Kecemasan

Posted on 20 Jul 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian telah menyerahkan seunit mesin Automated External Defibrillator (AED) kepada Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA), pada Ahad.

Penyerahan dilakukan dalam satu majlis ringkas di Klinik Kesihatan Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak, dengan peralatan tersebut diterima oleh Timbalan Komander Briged Sarawak PGA, ACP Rosdi Inai, yang mewakili seluruh warga pasukan.

Menurut Datuk Amar Dr Sim, sumbangan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Sarawak dalam meningkatkan kesiapsiagaan logistik kesihatan, khususnya bagi pasukan keselamatan yang sering bertugas dalam persekitaran berisiko tinggi.

“Anggota PGA bukan sahaja barisan hadapan dalam menjaga keselamatan awam, tetapi juga perlu bersedia menangani situasi kecemasan perubatan.

“Dengan adanya mesin AED, peluang untuk menyelamatkan nyawa dalam kes serangan jantung meningkat secara signifikan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak turut menekankan kepentingan latihan berterusan dalam penggunaan AED agar peralatan tersebut dapat dimanfaatkan secara optimum ketika diperlukan.

Sementara itu, ACP Rosdi menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas sumbangan tersebut yang disifatkannya sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting PGA dalam menjaga ketenteraman dan keselamatan awam.

Majlis turut disertai oleh Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, Supt Ku Majidi Che Ku Jusoh, pegawai kanan PDRM serta wakil Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak yang turut menyampaikan taklimat ringkas mengenai penggunaan AED.

Penyerahan ini dijangka akan memperkukuh keupayaan Briged Sarawak PGA dalam menghadapi sebarang insiden kesihatan di lapangan, selaras dengan komitmen kerajaan negeri memperkasakan aspek kesihatan dan keselamatan petugas barisan hadapan di seluruh wilayah. -EDISI UKAS