Masjid Baharu Bahagian Betong Bakal Jadi Mercu Tanda Penyatuan, Pembangunan Ummah

Posted on 20 Jul 2025
Source of News: UKAS


BETONG: Umat Islam di Bahagian Betong bakal menikmati kemudahan masjid baharu yang bukan sahaja menampilkan seni bina moden, malah menjadi simbol penyatuan ummah serta pemangkin kepada pembangunan komuniti Islam di kawasan ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam Sarawak), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, berkata pembinaan masjid bukan semata-mata bersifat fizikal, sebaliknya mengandungi nilai yang jauh lebih besar kepada masyarakat Islam.

“Masjid menjadi lambang dan pusat dalam menegakkan syariah Islam serta wadah kepada pembangunan jati diri umat Islam yang berlandaskan iman dan takwa.

“Ia merupakan asas kepada usaha menjadikan masyarakat Islam yang berilmu dan berakhlak mulia bermula dari institusi masjid,” katanya semasa berucap dalam majlis pelancaran pembinaan masjid berkenaan di sini, pada Ahad.

Menurut beliau, masjid berperanan sebagai platform penyatuan umat serta menggalakkan keharmonian antara kaum dan agama, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri yang menekankan perpaduan dalam kepelbagaian.

“Masjid kita perlu berfungsi sebagai pusat perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.

“Justeru, penyusunan serta pelaksanaan program-program masjid perlulah dilakukan dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa masjid harus dimanfaatkan bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat keilmuan yang menyumbang kepada peningkatan ilmu dan kefahaman masyarakat.

Justeru, beliau berharap agar masjid yang bakal dibina ini bukan sahaja dijadikan tempat solat semata-mata, tetapi turut dimanfaatkan untuk kelas-kelas pengajian, ceramah dan aktiviti ilmiah anjuran jabatan agama dan institusi berkaitan.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pembinaan Masjid Baharu Bahagian Betong atas komitmen dan inisiatif yang ditunjukkan dalam merealisasikan projek tersebut.

Beliau menekankan bahawa aspek pemantauan perlu diberikan perhatian agar projek pembinaan berjalan lancar dan menepati perancangan.

Tambahnya, keluasan tapak masjid memberi ruang untuk pembangunan kemudahan tambahan demi manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat.

“Saya menyerahkan kewibawaan projek ini kepada jawatankuasa bersama wakil-wakil rakyat di kawasan ini.

“Semoga pembinaan masjid ini akan terus mengeratkan hubungan silaturahim dan menjadi simbol penyatuan masyarakat Islam di Betong,” ujarnya lagi.

Turut sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha dan Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Sarawak Datu Ir Ahmad Denny Ahmad Fauzi.-EDISI UKAS