BINTULU: Seramai lebih 2,300 peserta membanjiri kawasan sekitar Jambatan Jepak bagi menyertai Larian Jepak Bridge 2025 yang mencipta sejarah tersendiri apabila diadakan sempena siapnya projek infrastruktur ikonik yang menghubungkan Kuala Kemena di Bintulu.
Acara anjuran Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak itu bukan sahaja mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur moden, malah memperlihatkan semangat perpaduan dan keterlibatan komuniti pelbagai kaum serta latar belakang dalam suasana penuh harmoni dan sihat.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, penyertaan luar biasa dalam acara ini membuktikan infrastruktur bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi turut menjadi pemangkin kepada kesatuan sosial dan ekonomi masyarakat.
“Larian ini memberi peluang kepada rakyat untuk menghargai hasil pembangunan negeri secara langsung, dan saya percaya ia mampu menjadi medium penyatuan rakyat yang efektif selain memupuk gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian Larian Jepak Bridge 2025, di sini pada Ahad.
Para peserta juga berpeluang menjadi antara individu pertama menyeberangi jambatan baharu ini sebelum ia dibuka secara rasmi kepada umum, menjadikan acara ini satu simbolik kejayaan penting dalam agenda pembangunan negeri.
Bagi kategori 10KM, Alif Bin Zaini muncul juara lelaki diikuti Zulkarnine Zaidin dan Abdul Rahim, manakala Yunizer Bt Suhaili menjuarai kategori wanita diikuti Amelia Bt Sulee dan Ting Sing Chud.
Dalam pada itu, acara cabutan bertuah menyaksikan Mohd Irfan Bin Japar membawa pulang sebuah motosikal manakala Evelyn Ugak memenangi sebuah mini skuter.
Jambatan Jepak merupakan antara projek strategik Kerajaan Sarawak yang bakal memacu kelancaran trafik, memperluas akses penduduk serta merangsang pertumbuhan ekonomi sekitar Bintulu.
Menteri Industri Makanan Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Dato Majang Anak Renggi, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Infrastruktur) (MIPD), Datuk Aidel Lariwoo serta tetamu lain.-EDISI UKAS