SABAH: Usaha memperluas jaringan agri-ekonomi antara Sarawak dan Sabah terus diperkukuh menerusi perbincangan strategik melibatkan potensi pemasaran baja keluaran Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) ke negeri jiran itu.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, potensi pasaran baja ke Sabah bukan sahaja akan membantu meningkatkan hasil pertanian di negeri tersebut, malah mampu membuka ruang kerjasama lebih erat dalam sektor agromakanan rentas Borneo.
“Kita melihat permintaan terhadap baja berkualiti tinggi di Sabah sangat besar, dan produk keluaran Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak mempunyai keupayaan untuk memenuhi keperluan tersebut.
“Perkara ini akan diperhalusi dari segi logistik dan pemasaran agar memberi manfaat kepada kedua-dua negeri,” katanya semasa mengetuai lawatan kerja ke Kebun Durian JJ Farm Onsoi terletak di Kampung Sugud, Penampang, Sabah pada Sabtu.
Selain berpotensi sebagai pasaran baharu untuk baja, lawatan tersebut turut membuka ruang kerjasama dalam aspek pemasaran eksport Durian Kuning dari Limbang dan Lawas menerusi jalinan dengan Persatuan Durian Sabah.
JJ Farm yang dimiliki Datuk Jamawi Jaafar merupakan antara ladang durian berskala besar di Sabah yang mengusahakan lebih 2,000 pokok durian terdiri daripada varieti Musang King dan Duri Hitam di atas tanah seluas 200 ekar.
Kebun tersebut turut menanam tanaman bernilai tinggi lain seperti avocado dan nangka.
Turut hadir dalam lawatan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang serta tetamu lain.
Lawatan ini diharap dapat memperkukuh jaringan agrikomoditi antara Sarawak dan Sabah serta menjadikan sektor pertanian sebagai antara pemacu utama ekonomi serantau di Borneo.-EDISI UKAS