KUCHING: Malaysia Sarong Music Run 2025 merupakan contoh terbaik bagaimana perayaan budaya tradisional dianjurkan secara kreatif dan mesra belia.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembudayaan semula warisan tradisional yang disesuaikan dengan cita rasa generasi masa kini penting, agar ianya tidak hilang ditelan zaman.
Beliau menyifatkan acara ini sebagai manifestasi budaya dalam bentuk segar dan dinamik, tanpa mengorbankan nilai tradisi.
“Malaysia Sarong Music Run ini membuktikan bahawa budaya tradisional boleh diangkat dan diraikan dalam bentuk yang menarik, mesra generasi muda, dan inklusif. Ini adalah satu langkah ke hadapan dalam usaha memperkukuh semangat kenegaraan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian acara berkenaan, di sini, pada Sabtu.
Dengan tema ‘Sarong, Muzik dan Perpaduan’, acara ini menyaksikan peserta menamatkan larian sejauh 5 kilometer sambil mengenakan pelbagai gaya sarong yang unik dan penuh warna, sambil diiringi persembahan muzik langsung, aktiviti seni interaktif dan pameran budaya, menjadikan ia lebih daripada sekadar acara larian.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, acara ini menjadi bukti nyata bahawa pendekatan kreatif dalam meraikan budaya dapat menyatukan masyarakat tanpa mengira usia, kaum atau latar belakang.
Dengan sambutan hangat masyarakat khususnya golongan belia, acara ini dilihat sebagai penanda aras baharu dalam meraikan budaya dan dikongsi bersama dalam cara yang relevan dengan dunia hari ini, katanya. -EDISI UKAS