Ketua Kaum Perlu Bijak Susun Strategi Pembangunan

Posted on 20 Jul 2025
Source of News: UKAS


PADAWAN: Peranan Ketua Kaum pada hari ini lebih daripada sekadar simbol tradisional, di mana mereka juga perlu bijak menyusun strategi pembangunan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil berkata, Ketua Kaum haruslah menjadi pemimpin berwibawa, profesional dan celik teknologi bagi mengangkat martabat kampung, seiring dengan arus pembangunan Sarawak.

“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada cara lama di mana Ketua Kaum masa kini harus berperanan sebagai pentadbir moden bijak menyusun strategi pembangunan, menguasai sistem e-pentadbiran dan menjadi jambatan antara rakyat dan agensi kerajaan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Sijil Lantikan Ketua Kaum dan Perasmian Projek Naik Taraf Dewan Serbaguna Kampung Braang Timurang, di sini, pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan Buku Panduan Kepimpinan Komuniti telah diterbitkan untuk memperkasakan pengetahuan dan keupayaan pentadbiran Ketua Kaum serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam menangani cabaran pentadbiran kontemporari.

Menyentuh mengenai potensi tarikan Kampung Braang Timurang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu menjelaskan kampung berkenaan berpotensi menjadi sebahagian daripada Pelan Induk Pelancongan Padawan dengan cadangan pembangunan tapak glamping di tepi sungai sebagai tarikan eko-pelancongan baharu.

Di kesempatan itu juga, Datuk Dr Jerip turut meluluskan peruntukan RM30,000 di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi pengurusan JKKK serta pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan.

Hadir sama, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong. -EDISI UKAS