Pentadbiran Cekap, Transformasi Digital Keutamaan Pembangunan Kampung Taba Sait

Posted on 20 Jul 2025
Source of News: UKAS


PADAWAN: Pentadbiran yang cekap dan transformasi digital menjadi keutamaan dalam usaha ke arah pembangunan Kampung Taba Sait.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil menekankan keperluan untuk penduduk kampung menyesuaikan pendekatan pentadbiran dengan perubahan zaman, terutama dalam era generasi baharu dan kemajuan teknologi.

“Penggunaan media sosial, internet dan sistem digital adalah langkah penting yang perlu diterapkan dalam pengurusan kampung agar pentadbiran menjadi lebih responsif, efisien dan relevan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Sijil Lantikan Ketua Kaum dan Perasmian Projek Naik Taraf Dewan Serbaguna Kampung Taba Sait, di sini pada Sabtu.

Datuk Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong turut menggariskan kepentingan tadbir urus yang cekap dan telus, khususnya dalam aspek pelaporan dan pemantauan projek.

Beliau mengingatkan agar segala rekod disusun kemas bagi memastikan kelancaran saluran peruntukan dan bayaran tanpa sebarang kelewatan.

Dalam usaha memperkukuh kapasiti komuniti, beliau mencadangkan agar ketua masyarakat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diberikan latihan berterusan.

Ini katanya penting bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus serta memperkukuh kerjasama antara JKKK dan Pejabat Daerah dalam pelaksanaan projek bersasar serta aktiviti ekonomi dan sosial secara sistematik.

Dalam majlis tersebut, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM200,000 di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk menaiktaraf Dewan Serbaguna Kampung Taba Sait.

Hadir sama, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong, Pemanca Bidayuh Daerah Kuching Raymond Jihap serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS