KUCHING: Pasukan Wonder Women terus mendominasi 15 pencabar lain dalam Liga Novis 2025 selepas mencatat kemenangan keempat berturut-turut dalam aksi berlangsung Rabu lepas di Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa.
Dengan mencatat kemenangan 15.5-4.5 ke atas PTBPNS 2, pasukan itu kini mengumpul 211.49 mata Peterson selepas memperoleh 34.78 mata dalam perlawanan tersebut.
Lebih gah apabila pemainnya, Rabina Johari mencuri tumpuan dalam kategori Anugerah Khas apabila merangkul gelaran Best Female (Scratch) dan Best Senior (Scratch) dengan jumlah jatuhan pin sebanyak 716 dalam kedua-dua kategori tersebut.
Sementara itu, pasukan D’Cops melonjak dari kedudukan ke-8 ke tempat ke-5 selepas menewaskan SSC X MYSED dengan 20-0.
Dibarisi oleh Roselina Daud, Zainurashidah Abdullah dan Nor Faezah Mazlan, pasukan ini mengutip 39.05 mata Peterson, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 181.62 mata Peterson.
Namun begitu, pasukan itu perlu berwaspada kerana PTBPNS 1 kini mengekori rapat di kedudukan kedua dengan perbezaan 22.51 mata Peterson.
Dibarisi oleh Nur Amalina Mohd Mosadad, Sallehin Pandita dan Nelson Donny Sunny, PTBPNS 1 menewaskan pasukan Strike Force dengan 12-8, bagi mengutip 31.47 mata Peterson dan mengumpul 188.98 mata Peterson setakat ini.
Dalam pada itu, nasib berbeza dialami The Masterpiece yang akur jatuh ke tangga ketiga dengan mata Peterson 188.69 walaupun melakar kemenangan ke atas pasukan Pinhead.
Pasukan Rollin’ Strike pula melonjak ke kedudukan keempat selepas menewaskan Ladies Bowlers III dengan 14-6.
Mereka kini memiliki 181.97 mata Peterson selepas memperoleh 32.87 mata Peterson dalam perlawanan tersebut.
Kedudukan tempat ke-6 hingga ke-16 dihuni oleh Strike Force, SDO Mixed, Pinhead, Ladies Bowlers III, Zero Strike, Panthers Bowlers, PTBPNS 2, Ahjin Guild, SSC X MYSED, Split Bowlers dan Nyo Bowlers KRMK. - EDISI UKAS