SRI AMAN: Penduduk di kawasan Pantu dan Balai Ringin bakal menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik dengan pelaksanaan projek berimpak tinggi berjumlah lebih RM240 juta bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan, mengumumkan projek pembinaan Loji Rawatan Air Baharu di Pantu bernilai RM110 juta yang dibiayai oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Menurutnya, selain itu, satu lagi projek sedang dilaksanakan di bawah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) iaitu projek penyaluran air bersih dari Slabi, Serian ke Balai Ringin yang bernilai RM130 juta sekaligus memperkukuh jaringan bekalan air luar bandar di kawasan tersebut.
"Projek ini kini dalam proses tender dan dijangka dimulakan tahun hadapan.
"Ia akan membabitkan sambungan paip air bersih dari Kampung Jaong hingga ke Kampung Empelanjau yang bakal memberi manfaat kepada ratusan isi rumah di kawasan terlibat,” katanya ketika berucap dalam Program Randau Ruai di Rumah Panjang Tr Peter Gimang, Kampung Rapak Penyau pada Sabtu.
Sementara itu, beliau memberitahu, manakala di Pantu, pembangunan Dataran Pantu dengan kos RM2.2 juta kini dalam fasa pembinaan, yang dijangka menjadi mercu baharu bagi kegiatan sosial dan ekonomi komuniti setempat.
Dalam aspek pembangunan komuniti pula, Datuk Snowdan turut menggalakkan penglibatan aktif golongan wanita dalam aktiviti seni dan budaya seperti kraftangan dan tarian tradisional.
Beliau turut mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada JKKK Kampung Rapak Penyau dan RM5,000 kepada Biro Wanita kampung sebagai dorongan untuk memperkasa peranan wanita dalam menjana ekonomi dan memelihara warisan budaya.
Program ini turut dihadiri Pegawai Daerah Pantu, Raca Mulong serta para Penghulu daerah dan pemimpin akar umbi sekitar kawasan Pantu.-EDISI UKAS