KAPIT: Penjagaan kebersihan persekitaran perlu dijadikan amalan bersama masyarakat luar bandar demi menjamin kesihatan, kesejahteraan dan kelestarian alam sekitar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, kebersihan bukan hanya tanggungjawab individu, sebaliknya memerlukan penglibatan secara kolektif daripada seluruh komuniti.
“Masyarakat harus menghentikan amalan membuang sampah ke dalam sungai kerana ia bukan sahaja mencemarkan persekitaran, malah menjejaskan kualiti hidup dan kesihatan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Program Pembangunan Komuniti: Kebersihan Persekitaran Tanggungjawab Bersama anjuran Majlis Daerah Kapit yang diadakan di Rumah Kenyalang, Nanga Sengkeranji, Sungai Menuan di sini, pada Sabtu.
Tambah Datuk Jefferson Jamit, usaha memperkasa komuniti luar bandar melalui program pembangunan seperti ini hanya dapat direalisasikan menerusi kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.
Beliau malah menyeru agar ketua kaum dan tuai rumah memainkan peranan aktif dalam menyampaikan maklumat kepada penduduk serta menyokong kehadiran dan kelangsungan program-program pembangunan komuniti.
Sementara itu, Datuk Jefferson turut memaklumkan bahawa sebanyak RM12 juta telah diperuntukkan untuk kerja-kerja membaik pulih jalan di kawasan Menuan.
Beliau menambah, projek feri ke Menuan juga telah diluluskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang bakal memperbaiki sistem mobiliti dan jaringan pengangkutan luar bandar.
Selain itu, katanya, rancangan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) serta peluasan hospital di kawasan berkenaan turut dirancang bagi memperkukuh kemudahan pendidikan dan kesihatan untuk penduduk setempat.
Program tersebut turut menyaksikan penyampaian sumbangan berbentuk dana pembangunan komuniti antaranya RM10,000 kepada Rumah Kenyalang, RM5,000 kepada Sekolah Kebangsaan Lepong Menuan serta RM5,000 kepada setiap 15 buah rumah panjang di sekitar Sungai Menuan.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pegawai Daerah Kapit Cerisologo Sabut, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Kapit Kaunselor Martin Bilun dan Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Kapit Opang Malay.-EDISI UKAS