Datuk Jefferson Jamit Tinjau Laluan Rumah Jengging ke Rumah Selli, Sungai Menuan

Disiarkan pada 20 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


KAPIT: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat telah mengadakan lawatan tapak ke laluan utama yang menghubungkan Rumah Jengging ke Rumah Selli di kawasan Sungai Menuan, di sini, pada Sabtu.

Lawatan berkenaan bertujuan meninjau keadaan semasa laluan tersebut yang menjadi nadi perhubungan kepada empat buah rumah panjang dan sebuah sekolah kebangsaan di kawasan pedalaman itu.

Laluan itu juga menjadi akses utama bagi penduduk menjalankan aktiviti harian serta menghantar anak-anak ke sekolah.

Dalam sesi lawatan tersebut, Datuk Jefferson Jamit turut mendengar taklimat daripada pegawai dan ketua masyarakat yang hadir mengenai keadaan jalan yang semakin uzur serta menyukarkan pergerakan, terutamanya ketika musim hujan.

Beliau mengambil maklum akan keperluan penduduk untuk kemudahan jalan yang lebih baik, dan memberi jaminan untuk meneliti serta membawa perkara ini ke perhatian kementerian dan agensi berkaitan bagi tindakan susulan.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah Pegawai Daerah Kapit Cerisologo Sabut, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Kapit Kaunselor Martin Bilun, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Kapit Opang Malay serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum.-EDISI UKAS