Kerajaan Sarawak Salur RM750,000 Tambahan untuk SJKC Chung Hua Spaoh

Posted on 19 Jul 2025
Source of News: UKAS


SPAOH: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Spaoh menerima suntikan dana tambahan berjumlah RM750,000 daripada Kerajaan Sarawak bagi pelaksanaan pembinaan baharu sekolah berkenaan.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penyaluran peruntukan itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan pendidikan di kawasan luar bandar sentiasa diberikan perhatian.

“Pada awalnya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta dan dengan tambahan ini, jumlah keseluruhan mencecah RM2.75 juta.

“Kita berharap projek ini dapat dimulakan secepat mungkin demi kebaikan pelajar-pelajar di Spaoh,” katanya kepada media selepas menyempurnakan penyerahan peruntukan tersebut pada Jumaat.

Menurut beliau, walaupun SJKC Chung Hua merupakan sekolah aliran Cina, namun lebih 90 peratus pelajarnya terdiri daripada masyarakat Iban dan Melayu.

“Inilah antara institusi yang kita harapkan dapat menyemai kefahaman dan perpaduan sejak awal usia, agar pelajar-pelajar ini dapat membesar dalam suasana saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.

“Ini juga selari dengan dasar Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Premier Sarawak yang turut menyalurkan bantuan kepada sekolah mubaligh serta institusi pendidikan lain,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi tahun ini, Kerajaan Sarawak telah mengagihkan RM20 juta melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada sekolah-sekolah mubaligh di seluruh Sarawak, manakala sekolah bantuan Cina turut menerima perhatian melalui kementerian yang berkaitan.

Jelasnya lagi, dasar yang dilaksanakan bukan sekadar retorik, sebaliknya dizahirkan melalui tindakan dan hasil yang nyata serta dirasai oleh rakyat, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan prinsip inklusiviti dan kesejahteraan menyeluruh.

Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan sosial di kawasan Bukit Saban.

Turut hadir ialah Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas dan Pembantu Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh Denny Lim.-EDISI UKAS