MIRI: Raptai penuh Majlis Sambutan Hari Sarawak 2025 berjalan lancar di Stadium Bandaraya Miri malam tadi.
Raptai tersebut disaksikan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Sarawak 2025, Dato Sri Lee Kim Shin.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pengarah UPPAN Datu Hamdan Sharbini serta Residen Bahagian Miri Galong Luang.
Pelbagai pengisian istimewa bagi membangkitkan semangat patriotik disediakan bagi memeriahkan sambutan Hari Sarawak tahun ini.
Antara pengisian utama termasuk tayangan video khas Hari Sarawak yang mengiringi lagu tema sambutan bertajuk “Sarawakku Gemilang” serta tayangan video “Sarawak Maju Makmur – A Journey Through Time And Progress” yang akan dipaparkan selepas simbolik perasmian oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Dato Sri Lee.
Ia juga akan menampilkan Konsert Rakyat oleh Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS) yang mengiringi persembahan artis tempatan seperti Karen Libau, Raquel Then, Firdaus Materang, Donny Lang, Jali, Noise dream Band dan Pinomal Band yang diketuai oleh Fredo, Pinomal Band yang diketuai oleh Fredo.
Turut disajikan nanti persembahan Koir Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) pujut dan Sekolah Kebangsaan (SK) Lutong serta tarian daripada kumpulan D’Bayu and Cultural Miri, Kumpulan Gah Rentak and Culture Art Miri dan The Art School.
Penampilan istimewa penyanyi terkenal tanah air Bob Yusof, Dayang Nurfaizah dan Zee Avi menghangatkan lagi malam sambutan nanti sebelum ditutup dengan persembahan bunga api yang berwarna-warni sebagai simbolik kemeriahan Hari Sarawak 2025.-EDISI UKAS