Hari Kedua Temasya OKSHE Terus Meriah, Warisan dan Budaya Jadi Tumpuan

Posted on 19 Jul 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Hari kedua penganjuran Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) terus berlangsung dengan penuh meriah menerusi pelbagai pengisian yang menonjolkan keunikan warisan, seni dan budaya tempatan di Kuching Waterfront.

Malam kemuncak temasya pada Sabtu berjaya menarik kehadiran ribuan pengunjung yang terpukau dengan persembahan bertenaga oleh barisan artis terkenal tanah air seperti Mimi Fly, Bob Yusof, Melissa Francis, Gabriel Fairuz, Hazmil Hasnan, Charlyn Dare dan Hijrah Yahya.

Gabungan persembahan muzik tradisional dan moden yang diiringi oleh Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dan Potres Orkestra telah memberikan pengalaman persembahan yang unik dan memukau kepada para penonton.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, bersama isteri, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak merangkap ADUN Demak Laut Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmy Othman, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta Ahli-Ahli Dewan DBKU.

Sepanjang tiga hari penganjuran bermula 18 hingga 20 Julai, pelbagai aktiviti diadakan termasuk Pentas Warisan, Dapur Warisan, Keunggulan Seni Songket dan Keringkam Melayu Sarawak, Bengkel Warisan, Bazar Seni dan Kraf, Heritage Fun Ride serta Heritage Amazing Race.

Temasya yang julung kali diadakan ini bukan sahaja memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, malah turut mengangkat keindahan serta keunikan budaya tradisional Sarawak khususnya dan Malaysia amnya.

Di samping menjadi platform untuk penggiat seni dan usahawan tempatan menampilkan bakat serta produk kreatif mereka, temasya ini juga memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan menghargai khazanah budaya warisan.

Penganjuran Temasya OKSHE sejajar dengan visi dan misi DBKU untuk membentuk warga kota dan Bandaraya Kuching sebagai komuniti yang berbudaya, harmoni dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi bandaraya Cantik, Bersih, Selamat, Pintar dan Lestari.

OKSHE juga merupakan pendekatan inovatif yang menggabungkan pelestarian warisan budaya dan pembangunan digital bagi memacu ekonomi komuniti tempatan serta memperkukuh identiti warisan Sarawak.

Dengan penekanan terhadap integrasi teknologi, keterlibatan masyarakat, dan tadbir urus yang berkesan, OKSHE diyakini akan terus berkembang sebagai ikon warisan berinovasi dan kebanggaan rakyat Sarawak pada masa hadapan.-EDISI UKAS

Foto: DBKU