Kerajaan Sarawak Salur Peruntukan RM2.25 Juta, Perluas Usaha TKTN Hingga Ke Bintulu

Posted on 19 Jul 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan khas tiga tahun berjumlah RM2.25 juta kepada Teratak Kasih Tok Nan (TKTN) sebagai usaha berterusan pihak kerajaan dalam menangani isu HIV dan AIDS di Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, peruntukan RM2.25 juta ini adalah bagi memperluaskan operasi TKTN hingga ke Bintulu susulan peningkatan kes baharu HIV di wilayah ini amat membimbangkan dan memerlukan perhatian serius.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan peruntukan khas daripada Kerajaan Sarawak untuk tempoh tiga tahun.

“Peruntukan sebanyak RM2.25 juta akan disalurkan bagi menyokong keperluan operasi dan pengembangan TKTN, meluaskan capaian perkhidmatannya dari Kuching ke Miri, dan tidak lama lagi ke Bintulu,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sempena Majlis Gala Yayasan AIDS Malaysia (MAF) Kuching 2025, di sini, pada Sabtu.

Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan, pengembangan dari Kuching ke Miri, dan dari Miri ke Bintulu, akan membolehkan lebih ramai insan yang menderita akibat penyakit berkenaan menerima sentuhan kasih sayang dan penjagaan yang diberikan.

“Walaupun terdapat kemajuan luar biasa dalam rawatan HIV, masih terlalu ramai yang terus menderita dalam diam.

“Bukan kerana virus itu sendiri, tetapi kerana ketakutan, rasa malu dan diskriminasi yang masih menyelubunginya.

“Ini adalah beban yang tidak sepatutnya ditanggung oleh sesiapa pun dan ia adalah beban yang menjadi tanggungjawab kita semua untuk membantu ringankan,” ujar beliau lagi.

Hadir sama, Penaung MAF Borneo Datin Patinggi Datuk Amar Puan Sri Jamilah Anu, Pemegang Amanah MAF Professor Madya Dr Raja Iskandar Shah Raja Azwa serta Pengarah Eksekutif MAF dan Majlis AIDS Malaysia Jasmin Jalil. -EDISI UKAS