13 Keluarga Terjejas Ribut Terima Bantuan MRP-PPRMS Berjumlah RM87,500 Di Mukah

Posted on 19 Jul 2025
Source of News: UKAS


MUKAH: Prihatin terhadap nasib penduduk yang terjejas akibat kejadian ribut baru-baru ini, seramai 13 keluarga di sekitar Mukah menerima bantuan pembaikan rumah berjumlah RM87,500.

Bantuan tersebut disalurkan oleh Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib menerusi peruntukan Kerajaan Sarawak di bawah program Projek Kecil Luar Bandar – Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (MRP-PPRMS).

Menurut Dato Hanifah, inisiatif tersebut merupakan langkah segera bagi memastikan kebajikan mangsa ribut diberi perhatian serta pembaikan kediaman dilaksanakan dengan pantas.

“Kerja-kerja pembaikan telah dimulakan seawal sehari selepas kejadian.

“Tindakan pantas itu bertujuan memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa ribut dapat dipulihkan dengan segera,” katanya.

Tambah beliau, pasukan Pusat Khidmat Parlimen Mukah telah digerakkan segera sejurus menerima laporan kejadian bagi menilai kerosakan dan menyelaras penyaluran bantuan.

“Saya amat simpati dengan nasib keluarga yang terjejas.

“Sejurus menerima laporan, saya telah arahkan pasukan di Pusat Khidmat Parlimen Mukah untuk turun padang dan menghulurkan bantuan,” katanya lagi.

Beliau turut berharap bantuan itu dapat membantu meringankan beban keluarga terlibat dan memberi sedikit kelegaan untuk mereka meneruskan kehidupan dalam keadaan lebih selesa dan selamat.

Antara lokasi terjejas yang menerima bantuan ialah Kampung Litong, Kampung Kuala Jebungan, Kampung Jebungan, Kampung Sungai Alo, Kampung Kuala Petanak, Kampung Kuala Lama, Kampung Teh Labak, Kampung Tanjong, Kampung Tellian Laut, Kampung Teh serta Prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Seberang.-EDISI UKAS