BETONG: Satu khabar gembira buat masyarakat Beladin apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meluluskan pembinaan dan penyiapan 46 unit rumah baharu di RGC Beladin menerusi kaedah pembinaan Sistem Binaan Berindustri (IBS).
Pengumuman tersebut disampaikan oleh Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Datu Sr Zaidi Mahdi, selepas beliau memberikan taklimat kepada Premier Sarawak mengenai perkembangan Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Beladin dalam satu majlis penyerahan kunci rumah kepada 68 keluarga nelayan yang telah berjaya ditempatkan di bawah projek tersebut.
Menurut kenyataan LCDA pada Sabtu, pembinaan rumah baharu itu akan dilaksanakan sepenuhnya oleh mereka sebagai sebahagian daripada inisiatif Projek Rakyat, dengan peruntukan berjumlah RM22.1 juta.
Ia merupakan kesinambungan daripada kejayaan fasa pertama projek yang melibatkan kerja-kerja infrastruktur, pembinaan rumah dan penambahbaikan dengan nilai keseluruhan RM58.2 juta, yang turut dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
Menurut Datu Sr Zaidi, projek baharu ini bakal memanfaatkan sepenuhnya infrastruktur sedia ada yang telah siap di tapak tersebut.
Hal ini membolehkan kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan serta-merta tanpa perlu menunggu penyediaan tapak baharu, sekaligus menjimatkan masa dan kos pelaksanaan.
Perkara ini sekali lagi membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyediakan perumahan berkualiti dan mampu milik untuk rakyat, khususnya golongan nelayan, selaras dengan agenda pembangunan negeri yang inklusif dan mampan.
Dengan kelulusan ini, diharapkan pembinaan 46 unit rumah baharu ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat besar kepada penduduk Beladin, sekali gus memperkukuh kesejahteraan masyarakat setempat di bawah kerangka pembangunan menyeluruh Sarawak. -EDISI UKAS