Teknologi Pertanian Pintar Curi Tumpuan Pengunjung Ekspo Pertanian PPNS 2025

Posted on 19 Jul 2025
Source of News: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Teknologi pertanian pintar yang diperkenalkan oleh DJI Agriculture Sarawak, berjaya mencuri tumpuan menerusi sesi perkongsian khas sempena Ekspo Pertanian PPNS 2025 yang berlangsung di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), di sini pada Sabtu.

Sesi perkongsian bertemakan 'Pertanian Moden Berteknologi Tinggi' itu memberi pendedahan secara langsung kepada para petani, usahawan muda dan penggiat agro mengenai aplikasi teknologi dron dalam bidang pertanian, iaitu satu pendekatan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan komuniti tani masa kini.

Wakil DJI Agriculture Sarawak, Shane Ferdinand berkata, adaptasi teknologi pintar seperti dron memainkan peranan penting dalam usaha memodenkan sektor pertanian.

Menurut beliau, penggunaan dron bukan sahaja mampu melaksanakan tugas penyemburan baja dan racun serangga, malah turut berupaya menjalankan pemantauan kesihatan tanaman secara sistematik dan tepat.

“Penggunaan teknologi ini amat sesuai untuk ladang berskala kecil dan sederhana serta mampu membantu peladang tempatan meningkatkan hasil secara mampan,” katanya ketika membentangkan inisiatif teknologi terkini DJI dalam sesi berkenaan.

Sebagai pelengkap sesi, satu demonstrasi secara langsung turut diadakan di luar bangunan PPNS bagi mempamerkan keupayaan dron model terkini keluaran DJI.

Dron tersebut dikendalikan secara automatik melalui sistem peta ladang digital, sekali gus memberi gambaran jelas tentang potensi sebenar teknologi ini dalam sektor pertanian.

Rata-rata pengunjung, khususnya peladang muda, melahirkan minat yang tinggi terhadap penggunaan dron dan berharap agar inisiatif seumpama ini dapat diperluas ke kawasan luar bandar sebagai usaha memperkasa pertanian moden di Sarawak.

Ekspo Pertanian PPNS 2025 berlangsung selama tiga hari, bermula 18 julai menghimpunkan lebih 45 penyertaan daripada agensi kerajaan, institusi kewangan, syarikat swasta serta penyedia teknologi pertanian.

Selain menyokong agenda sekuriti makanan negara secara menyeluruh, penganjuran ini juga bertujuan memperkukuh ekosistem agro-makanan di wilayah ini.-EDISI UKAS