SERIAN: Program Jelajah Santuni Kanak-Kanak Institusi Serian anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Serian dengan kerjasama Pasukan Pelindung Kanak-Kanak (PPKK) dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) menceriakan penghuni asrama pada hujung minggu ini.
Program jelajah yang disertai oleh barisan Ahli Jawatankuasa PPKK dan PKKK itu diketuai oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat Serian, Mohamad Mahadhir, bersama Pengerusi PPKK, Melin Sunang, dan Pengerusi PKKK, Kaunselor Lai Swee Chong.
Tiga institusi yang dikunjungi dalam program ini ialah Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah, Asrama Akhlak Lelaki Kuching, dan Sekolah Tunas Bakti Kuching.
Tujuan utama program adalah memberi sokongan moral dan psikososial kepada para penghuni institusi selain meninjau kemudahan serta kebajikan yang disediakan.
Pelbagai aktiviti interaktif, sesi ramah mesra dan motivasi berkumpulan telah dijalankan, mencetuskan suasana ceria dan penuh kegembiraan.
Dalam program itu, pihak penganjur turut menyampaikan sumbangan kepada para penghuni institusi untuk meringankan beban serta memberi dorongan dan rasa dihargai dalam kalangan kanak-kanak tersebut.
Program sebegini diharap dapat dijadikan acara berkala dalam mendekatkan institusi kepada masyarakat, di samping menyemai nilai kasih sayang, empati dan kepedulian terhadap kanak-kanak yang memerlukan. -EDISI UKAS