Sarawak Menuju Wilayah Berpenduduk Tua, Kerajaan Seru Supaya Rakyat Lebih Peka Dengan Kesihatan

Posted on 19 Jul 2025
Source of News: UKAS


SERIAN: Sarawak kini sedang menuju ke arah menjadi sebuah wilayah berpenduduk tua atau ‘aging population’, dalam masa yang sama semakin ramai rakyatnya mengalami penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, darah tinggi dan obesiti.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata, rakyat hari ini tanpa mengira usia haruslah lebih peka dengan tahap kesihatan masing-masing.

Perkara ini jelasnya kerana penyakit ini bukan sahaja menyerang golongan berusia tetapi juga semakin banyak dikesan dalam kalangan orang muda.

“Malaysia kini antara negara di Asia Tenggara yang mencatatkan kadar obesiti dan diabetes paling tinggi. Kesihatan tubuh badan wajib dijaga, namun keselamatan makanan juga perlu dipantau," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Parlimen Serian, bersempena sambutan Hari Denggi ASEAN dan Hari Keselamatan Makanan Sedunia yang berlangsung di Dewan Babuk Barum, Kampung Bunan Gega, pada Sabtu.

Bertemakan ‘Food Safety Science in Action’, sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia pada 7 Jun setiap tahun bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya keselamatan makanan dan menggalakkan tindakan untuk memastikan makanan yang diambil selamat untuk semua.

Program jelajah ini merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertujuan memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan, keselamatan makanan, kebersihan persekitaran serta mewujudkan komuniti yang sihat dan sejahtera.

Hadir sama, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Pegawai Kesihatan Bahagian Serian Dr Majorie Ensayan Junting, Ketua Polis Daerah Serian Supritenden Freddy Bian Stanislaus, Penolong Pegawai Daerah Tebedu Angela Thomas, Temenggong Henry Bujang Senden dan Pemanca Kane Manung. -EDISI UKAS