BETONG: Selama bertahun-tahun, sungai luas yang membelah Beladin dan Pusa menjadi sempadan masa dan kehidupan kepada ribuan penduduk pesisir.
Namun kini, segalanya berubah, Jambatan Batang Saribas 1 yang sebelum ini hanya menjadi harapan penduduk, akhirnya berdiri megah bukan sekadar menghubungkan dua tebing, tetapi membuka laluan kepada masa depan yang lebih cerah.
Jambatan Batang Saribas 1 bukan sekadar satu lagi projek infrastruktur, ia adalah nadi baharu yang menghidupkan harapan lama yang selama ini tersimpan dalam diam oleh masyarakat pesisir.
Kini, harapan itu telah menjelma menjadi nyata dengan menjanjikan masa depan yang lebih cerah.
Perasmian jambatan sepanjang 1.55 kilometer itu telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Sabtu, sekali gus menandakan era baharu pembangunan luar bandar di kawasan pesisir Sarawak.
Dibina dengan kos RM375.5 juta, jambatan yang mempunyai 16 bentang ini turut merangkumi penaiktarafan dan pembinaan jalan baharu sepanjang 6.7 kilometer, sekali gus memudahkan hubungan antara Beladin dan Pusa yang selama ini hanya bergantung kepada perkhidmatan feri.
Bagi Ketua Kampung Hilir Pusa, Mat Saini, jambatan ini bukan sahaja satu kemudahan fizikal, tetapi lambang kesungguhan kerajaan dalam mengangkat taraf hidup rakyat di kawasan pedalaman.
"Kita amat berterima kasih kepada pimpinan Premier Sarawak kerana dapat menghadiahkan jambatan ini untuk kemudahan kita semua.
"Jika dibandingkan sebelum ini, kami di sini menggunakan perkhidmatan feri yang kadang-kadang mengambil masa hampir sejam untuk menyeberangi.
"Sekarang hanya beberapa minit sahaja. Jambatan ini bakal memberi banyak manfaat kepada penduduk Kampung Pusa terutamanya dari segi perjalanan dan ekonomi,” ujarnya ketika ditemui UKAS semasa hadir menyaksikan perasmian jambatan tersebut.
Ketua Kampung Tengah Pusa, Jaafar Yusup turut menzahirkan rasa syukur atas pembinaan jambatan yang disifatkannya sebagai mercu tanda baharu kepada kawasan Pusa dan sekitarnya.
"Saya sangat terharu dengan komitmen yang ditekankan Kerajaan Sarawak dalam membawa pembangunan kepada penduduk termasuk di pesisir.
"Bagi kami, jambatan ini menjadi mercu tanda Kampung Pusa, penghubung kepada kampung ke kampung lain.
"Sebenarnya kami telah lama menunggu jambatan ini siap. Ini adalah harapan orang kampung terutamanya penduduk Kampung Pusa dan Beladin. Ini memberi impak yang besar dari segi ekonomi dan juga pembangunan,” katanya.
Bagi penduduk Beladin pula, jambatan ini menjadi pembuka jalan kepada peningkatan kegiatan ekonomi tempatan.
Ketua Kampung Hilir Beladin, Awang Subih Awang Halil menyifatkan jambatan tersebut sebagai pemangkin kemajuan kawasan.
"Dengan adanya jambatan ini, kita percaya ekonomi penduduk kampung akan lebih maju.
"Saya mewakili seluruh penduduk mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak khasnya Kerajaan Sarawak yang telah membina sebuah jambatan yang amat bermakna kepada penduduk di sini,” ujarnya. -EDISI UKAS