KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Biografi 'Guided By Integrity: A Life of Honour and Wisdom' yang berlangsung di Dewan Tan Sri Abu Zahar Ujang, Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur pada Sabtu.
Turut mengiringi beliau dalam majlis penuh bermakna itu ialah Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Buku biografi berjudul 'Guided By Integrity: A Life of Honour and Wisdom' mengisahkan perjalanan hidup Tan Sri Abu Zahar Ujang iaitu seorang tokoh negara yang disegani dan dihormati ini.
Beliau kini merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga mantan Yang di-Pertua Dewan Negara.
Judul buku ini amat bertepatan kerana ia benar-benar menggambarkan keperibadian beliau sebagai seorang tokoh politik berintegriti tinggi, merendah diri serta berpegang teguh kepada prinsip kepimpinan yang luhur.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut berkongsi mengenali Tan Sri Abu Zahar sejak tahun 1974, semasa mereka sama-sama berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, sebagai Ahli Parlimen dan kemudiannya sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara.
Tambahnya, sepanjang tempoh persahabatan dan perjuangan tersebut, pelbagai pengalaman, kisah dan cabaran telah mereka harungi bersama.
"Sepanjang kerjaya dan kehidupan Tan Sri Abu Zahar, beliau sentiasa menzahirkan nilai-nilai murni seperti kejujuran dan integriti yang bukan sahaja wajar dijunjung, malah harus dijadikan panduan dalam segala aspek kehidupan – baik dalam perkhidmatan awam mahupun dalam urusan peribadi," katanya.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penulis atas usaha yang berjaya mendokumentasikan kisah hidup seorang tokoh unggul negara.
Kedua-dua turut mendoakan semoga karya ini akan menjadi sumber inspirasi yang berharga kepada para pembaca, khususnya dalam kalangan rakyat Malaysia yang cintakan integriti dan kepimpinan berprinsip. -EDISI UKAS