Jaringan Jalan Raya Sarawak Terus Dipertingkat, 11 Lagi Jambatan Akan Disiapkan

Posted on 19 Jul 2025
Source of News: UKAS


BETONG: Sarawak terus menyaksikan pembangunan pesat jaringan jalan raya apabila sebanyak 11 buah jambatan lagi akan disiapkan dalam masa terdekat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembinaan jambatan-jambatan itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 16 buah jambatan yang sedang dan telah dibina di seluruh negeri dengan kos berjumlah RM5.9 bilion.

Menurut beliau, antara jambatan yang telah siap ialah Jambatan Marudi, Jambatan Batang Rajang, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Batang Rajang dan Jambatan Batang Saribas, selain Jambatan Jepak yang dijangka dirasmikan tidak lama lagi.

“Inilah impian Premier Sarawak untuk melihat perjalanan dari Kuching ke Miri tidak perlu lagi menggunakan perkhidmatan feri.

“Ini impian yang cukup murni sekali dan itu bukan hanya impian sahaja tetapi datang dengan peruntukan RM5.9 bilion untuk membangunkan 16 buah jambatan ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Saribas 1 di sini, pada Sabtu.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menjelaskan bahawa Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai dasar yang jelas dan menyeluruh dalam membangunkan infrastruktur negeri.

“Dasar beliau adalah untuk memastikan bahawa Sarawak terus maju dan rakyat berpendapatan tinggi.

“Kawasan yang ada dan infrastruktur-infrastruktur perlu dibangunkan secepat mungkin.

“Oleh demikian, Jabatan Kerja Raya (JKR) mempunyai tanggungjawab yang besar untuk melaksanakan projek rakyat dan projek-projek lain bernilai lebih RM30 bilion di seluruh Sarawak,” tambahnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohamad Razi Sitam, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia dan Sukan) Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Pendidikan dan Inovasi Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pengarah Kerja Raya Sarawak Dr Cassidy Morris, ketua-ketua jabatan serta kenamaan lain.-EDISI UKAS