Program Jualan Rahmah Madani Di Senadin Dapat Sambutan Hangat

Posted on 19 Jul 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) terus mendapat sambutan hangat daripada masyarakat apabila edisi terbaharu program tersebut diadakan di pasar raya The Fresh Mart, Riam di sini pada Sabtu.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin.

Beliau menyifatkan PJRM sebagai antara usaha paling berkesan dalam membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.

“Setakat Julai tahun ini, sebanyak 87 program PJRM telah dilaksanakan, termasuk 21 kali di kawasan Senadin.

"Ini termasuk versi Program Jualan Rahmah Madani Bergerak (PJRMB) serta program khas seperti PJRM Sekolah, Pasar dan Perayaan,” jelas beliau ketika ditemui media selepas majlis perasmian.

Beliau turut memaklumkan bahawa dua lagi lokasi PJRMB seterusnya akan diadakan di SMK Pujut dan Surau Darul Falah, Kampung Lembah Hijau.

Sebanyak 22 jenis barangan keperluan ditawarkan pada program kali ini, termasuk beras, ayam, minyak masak dan pelbagai barangan dapur, dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran dengan The Fresh Mart menjadi lokasi tetap (statik) bagi penganjuran program kali ini. -EDISI UKAS