Datuk Sebastian Meriahkan Kejohanan Sukan Tahunan ke-68 SK Saint Columba

Posted on 19 Jul 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Padang Majlis Bandaraya Miri gamat dengan sorakan dan semangat kesukanan apabila Kejohanan Sukan Tahunan ke-68 Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Columba bagi tahun 2025 berlangsung dengan penuh meriah dan berwarna-warni pada Sabtu.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.

Dalam ucapannya, Datuk Sebastian Ting menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah atas komitmen menganjurkan kejohanan ini, yang disifatkan sebagai platform penting dalam pembangunan holistik pelajar.

“Kejohanan ini mencerminkan kerjasama erat antara sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengurusan Sekolah, serta sokongan ibu bapa yang menjadi tunjang kekuatan dalam melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek,” katanya.

Datuk Sebastian turut memuji semangat dan penyertaan murid-murid Tahun 1 hingga Tahun 6 dalam sebanyak 58 acara sukan yang dipertandingkan, sambil menegaskan bahawa nilai-nilai seperti disiplin, semangat juang, dan setiakawan adalah lebih utama daripada kemenangan semata-mata.

Datuk Sebastian turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi menyokong penganjuran kejohanan sukan tahun ini.

Beliau juga berkongsi perkembangan projek-projek pembangunan sekolah di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) iaitu RM100,000 pada tahun 2023 bagi pembinaan sistem perparitan di bahagian belakang sekolah, yang kini hampir siap

Manakala, RM100,000 lagi pada tahun 2024 telah diluluskan dan kini menunggu proses seterusnya di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Beliau menegaskan akan terus berusaha memastikan setiap projek dapat dilaksanakan dengan lancar demi keselesaan dan keselamatan warga sekolah. -EDISI UKAS