BINTULU: Program Bintulu Car Free Morning (BCFM) 2025 berjaya menarik penyertaan ramai penduduk tempatan dengan pelbagai aktiviti santai, riadah dan kesedaran alam sekitar dianjurkan sepanjang acara apabila berlangsung meriah di Pantai Tanjung Batu pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming menyatakan sokongan padu terhadap inisiatif anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) itu menyifatkan program berimpak tinggi ini sebagai selaras dengan agenda menjadikan Bintulu sebagai Hab Industri Rendah Karbon menjelang 2030.
“Program ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, tetapi turut menyokong agenda pengurangan karbon dan kesedaran awam terhadap kepentingan bandar yang lestari,” ujarnya.
Beliau memuji penganjur atas kepelbagaian aktiviti yang disediakan, termasuk senamrobik, Running Clinic, Fun Run Hunt, plogging, pameran haiwan peliharaan dan pelbagai aktiviti santai keluarga yang memberi ruang untuk komuniti berkumpul dan berinteraksi secara sihat.
Beliau turut menyambut baik langkah pihak penganjur yang memperkenalkan penanda khas 5km laluan jogging dan berbasikal sempena BCFM, sebagai satu usaha memperkasa penggunaan ruang awam yang sihat dan inklusif. -EDISI UKAS