LUNDU: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar bakal menikmati kemudahan bekalan air yang lebih baik menerusi pelaksanaan Projek Sistem Paip Graviti, yang dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Kuching dengan kerjasama Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, projek tersebut merupakan antara inisiatif penting yang telah lama dinantikan oleh penduduk, khususnya di Kampung Kendaie yang berdepan masalah bekalan air bersih sejak sekian lama.
Menurutnya, peruntukan sebanyak RM1.5 juta telah diluluskan untuk projek berkenaan, dan dana tersebut telah dimanfaatkan secara optimum dengan kos pelaksanaan berjumlah RM1.497 juta.
Dalam masa sama, Billy menegaskan keperluan untuk mengekalkan sistem paip graviti walaupun loji rawatan air dibina kelak, sebagai pelengkap kepada sistem bekalan air sedia ada.
“Saya mahu masalah air ini benar-benar selesai. Kita tidak boleh hanya bergantung pada satu sumber sahaja. Sistem paip graviti juga telah membantu banyak kampung dan perlu diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Serah Tapak Projek Sistem Paip Graviti di Kampung Kendaie, di sini pada Sabtu.
Dalam ucapan sama, Billy turut memaklumkan bahawa sebuah projek loji rawatan air baharu dijadualkan bermula pada 2026, sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan sistem bekalan air luar bandar kekal mampan dan berdaya tahan.
"Pada tahun ini sahaja, sebanyak 27 projek berkaitan air dilaksanakan di seluruh DUN Opar dengan peruntukan keseluruhan RM13.5 juta di bawah GKCDA,"jelasnya lanjut.
Majlis itu juga menyaksikan penyerahan tapak bagi empat projek utama sistem paip graviti di kawasan DUN Opar iaitu Projek Menaiktaraf Sistem Paip Graviti di Kampung Pasir Tengah, Projek Pembinaan Baru Sistem Paip Graviti di Bukit Batu dan Pasir Hili, Projek Pembinaan Baru Sistem Paip Graviti di Kawasan Ranto Panjang, Kampung Pasir Hulu serta Projek Menaiktaraf Sistem Paip Graviti di Kampung Sedaing.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Niponi Undek, Pegawai Daerah Lundu Awang Yusup Awang Mostapha, Jurutera JBALB Bahagian Kuching Ir Ts Awang Muhamad Ayahtullah Awang Najeri, Pegawai Tadbir GKCDA Mohd Badrulhisyam Muta-ee, Pemanca Allen Manium Enggang dan Ketua Kaum Kampung Kendaie Joe Frazer Nyalir.-EDISI UKAS