17 Pasukan Di Kawasan DUN Muara Tuang Berentap Dalam Kejohanan Bola Sepak Veteran SABERKAS

Posted on 19 Jul 2025
Source of News: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Kejohanan Bola Sepak Veteran 9 Sebelah Piala Perpaduan SABERKAS Cawangan Muara Tuang yang dianjurkan sempena Hari Kemerdekaan Sarawak ke-62 menyaksikan penyertaan luar biasa sebanyak 17 pasukan dari 13 buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang.

Acara yang berlangsung di Padang Bola Sepak Kampung Tanjung Bundong Lot Fasa 1 ini menjadi medan utama untuk membina perpaduan serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan warga veteran di daerah ini.

Perlawanan pembukaan memperlihatkan aksi sengit antara Kampung Niup Tengah dan Kampung Tanjung Bundong 3 yang berjuang dalam usaha membawa nama kampung masing-masing ke peringkat akhir kejohanan.

Perlawanan akhir dan majlis penutupan kejohanan dijadualkan berlangsung pada 22 Julai, disempurnakan oleh Timbalan Speaker DUN Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang.

Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan bola sepak biasa, tetapi lambang perpaduan serta kerjasama erat antara pelbagai komuniti dalam DUN Muara Tuang yang terus menyemarakkan semangat kemerdekaan Sarawak ke-62.

Hadir sama, Penghulu Kampung Tanjung Bundong Saraee Konen, Pengerusi Unit Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Kampung Tanjung Bundong Teruna Jeman serta Ketua Kaum Kampung Tanjung Bundong Tradisi Wan Ahun Wan Seman. -EDISI UKAS