BETONG: Rangkaian jalan pesisir yang sedang dibangunkan di Sarawak bakal menjadi pemacu utama atau 'game changer' kepada transformasi landskap pembangunan luar bandar negeri ini menjelang tahun 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Jambatan Batang Saribas 1 yang telah siap sepenuhnya menjadi penghubung penting dalam menjayakan projek rangkaian jalan pesisir yang menyambungkan kampung dan rumah panjang di sepanjang kawasan pesisir.
"Dengan siapnya projek ini rakyat dapat berhubung terus ke Kuching melalui jaringan yang sedang kita bina dan tidak lama lagi kita akan merasmikan Jambatan Lingga yang akan menghubungkan 'second trunk road'.
" Maka dengan siapnya infrastruktur ini, pada tahun 2030 rangkaian infrastruktur kita akan menjadi satu rangkaian yang akan menjadi 'game changer' dalam pembangunan luar bandar," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Jambatan Batang Saribas 1 di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohamad Razi Sitam, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia & Sukan) Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Pembangunan Bandar & Sumber Asli Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Pendidikan dan Inovasi Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pengarah Kerja Raya Sarawak Dr Cassidy Morris, Ketua-ketua Jabatan serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Premier Sarawak berkata jambatan berkenaan bakal membuka lebih banyak peluang kegiatan ekonomi, termasuk pembangunan pertanian moden di kawasan pesisir.
"Saya juga mengucap terima kasih kepada rakyat di kawasan Betong yang telah memberi kerjasama dalam kita melaksanakan projek yang besar di mana kos projek ialah lebih kurang RM375 juta," tambahnya.
Terdahulu, beliau turut melancarkan penubuhan Agensi Pembangunan Wilayah Betong (BDDA) yang akan menjadi pemacu pembangunan strategik di kawasan itu.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan kelulusan beberapa permohonan pembangunan termasuk pembinaan semula Pejabat Daerah Betong dan Pejabat Majlis Daerah Betong, menaik taraf kemudahan elektrik ke Fasa 3 di Bahagian Betong serta pembangunan Agropark di Beladin, Pusa.
Premier Sarawak kemudiannya meneruskan lawatan kerja ke Penempatan Semula Nelayan Beladin bagi menyerahkan kunci kepada dua penerima serta menyampaikan Bantuan Sara Hidup Nelayan Beladin 2025.
Beliau juga meninjau tapak projek pembangunan Tebingan Beladin, Pusa yang melibatkan kos sebanyak RM45 juta.-EDISI UKAS