STEM Trailblazers 2025 Platform Lonjak Pendidikan Inovatif Anak Sarawak

Posted on 19 Jul 2025
Source of News: UKAS


MIRI: STEM Trailblazers 2025 merupakan platform melonjakkam pendidikan inovatif dalam kalangan anak-anak Sarawak.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, program ini bukan sekadar acara tahunan, malah merupakan satu langkah penting dalam membentuk masa depan generasi muda Sarawak dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

"Program ini sebagai satu wadah yang menyemarakkan budaya inovasi, pembelajaran dan daya cipta dalam kalangan pelajar di seluruh negeri," katanya demikian dalam Majlis Perasmian STEM Trailblazers 2025 di Universiti Curtin Malaysia pada Jumaat.

Tambahnya, sambutan luar biasa yang diterima bagi edisi kali ini jelas menunjukkan minat mendalam generasi muda terhadap bidang STEM.

Difahamkan, sebanyak 157 penyertaan diterima bagi pertandingan utama, jauh melebihi sasaran awal sebanyak 91 pasukan, termasuk 28 penyertaan tambahan.

Selain itu, Dato Sri Roland berkongsi beberapa inisiatif penting kementeriannya yang sedang dilaksanakan demi memastikan pendidikan STEM terus berkembang dan boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat melalui program bergerak STEM Catalyst dan Sarawak Education Enhancement Programme (SEEP) dilaksanakan bagi menyediakan tuisyen percuma kepada pelajar Tingkatan 3 dan 5 terutamanya dalam subjek berkaitan STEM termasuk Free Tertiary Education Scheme (FTES) yang bermula tahun hadapan.

"Semua usaha ini merupakan sebahagian daripada matlamat lebih besar di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk menjadikan Sarawak sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan yang ditunjangi oleh tenaga kerja mahir dan inovatif," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai program dua hari ini, beliau berkata para pelajar akan berpeluang menyertai pelbagai bengkel interaktif melibatkan bidang kecerdasan buatan, teknologi hijau, dan robotik, serta menyertai pertandingan yang merangsang pemikiran kreatif dan semangat kerja berpasukan.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis. -EDISI UKAS