BELAWAI: Program SAMAsedia Siri 3/2025 yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Dewan Masyarakat Kampung Belawai melakar satu lagi kejayaan dalam memperkasakan golongan belia Sarawak sebagai pelapis kepimpinan masa depan negeri.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh, menyampaikan penghargaan kepada Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) dan Susoul Management atas inisiatif menganjurkan program bermanfaat ini kepada belia tempatan.
“Kita memerlukan pelapis baru bagi memastikan kesinambungan kepimpinan masa depan.
“Program ini merupakan arah tuju bagaimana kita dapat memimpin dan membimbing anak muda kita supaya mereka mendapat pengalaman lebih awal untuk mengambil alih kepimpinan di masa-masa yang akan datang,” katanya dalam ucapan perasmian program berkenaan pada Jumaat.
Beliau turut menyentuh kejayaan program SAMAsiswa 2025 yang telah diadakan sebelum ini di Sumiran Eco Park & Resort dengan penglibatan 39 mahasiswa dan mahasiswi dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Program ini, katanya, berjaya membina asas yang kukuh dalam mempersiapkan belia ke alam pekerjaan melalui pengukuhan jati diri dan ketahanan mental.
Menurut Datuk Len Talif lagi, usaha mempersiapkan generasi pelapis tidak boleh dipandang ringan kerana kestabilan dan kemajuan negeri Sarawak pada masa hadapan amat bergantung kepada kualiti kepimpinan dari akar umbi.
Beliau menegaskan bahawa pendidikan kepimpinan perlu dimulakan lebih awal, dan belia perlu diperkasa agar mampu berdaya saing di peringkat global dan tempatan.
Dengan usaha gigih serta kerjasama berterusan, beliau yakin Sarawak akan terus melahirkan pemimpin berkualiti tinggi yang mampu memacu negeri ke arah masa depan yang lebih cemerlang.
Program SAMAsedia 2025 merupakan satu daripada siri program biro politik AKYBMS yang dilaksanakan secara berterusan dalam usaha memperkukuhkan barisan kepimpinan belia Sarawak di bawah semangat "SarawakKu Sayang".
Hadir sama pada majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah, dan Biro Politik AKYBMS selaku penyelaras program Sulhie Salleh.-EDISI UKAS