Detik Ditunggu Kini Tiba, Jambatan Batang Saribas 1 Dirasmikan

Posted on 19 Jul 2025
Source of News: UKAS


BETONG: Detik yang ditunggu-tunggu selama bertahun-tahun akhirnya tiba apabila Jambatan Batang Saribas 1 dibuka secara rasmi hari ini sekali gus mencatatkan lembaran baharu bagi penduduk yang menetap di sekitar kawasan pesisir Sarawak.

Tiada lagi penantian panjang di tebing sungai dan tiada lagi kebergantungan kepada feri yang mengambil masa sehingga 30 minit untuk menyeberang.

Kini, hanya beberapa minit diperlukan untuk merentas Sungai Batang Saribas berkat infrastruktur mega yang menjadi simbol kemajuan luar bandar Sarawak.

Perasmian jambatan yang dinantikan ini disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Dengan kos pembinaan mencecah RM375.5 juta, jambatan sepanjang 1.55 kilometer ini berdiri megah dengan 16 bentang, menyambungkan laluan sepanjang 6.7 kilometer yang turut melibatkan penaiktarafan dan pembinaan jalan baharu di kedua-dua sisi Beladin dan Pusa.

Selain jambatan utama, projek ini turut melibatkan penaiktarafan jalan sedia ada sejauh 0.887 kilometer di Beladin dan 1.62 kilometer di Pusa serta pembinaan jalan baharu masing-masing sejauh 1.851 kilometer di Beladin dan 0.792 kilometer di Pusa.

Bagi masyarakat yang selama ini bergantung kepada feri sebagai satu-satunya pengangkutan merentasi sungai, jambatan ini ibarat nafas baharu.

Projek ini juga menandakan keupayaan dan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan luar bandar lantas menjadikan kawasan pesisir tidak lagi terpinggir.

Turut hadir menyaksikan perasmian yang bersejarah ini ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohamad Razi Sitam, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia & Sukan) Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Pembangunan Bandar & Sumber Asli Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Pendidikan dan Inovasi Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Abdul Rahman Junaidi, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pengarah Kerja Raya Sarawak Dr Cassidy Morris, Ketua-ketua Jabatan serta kenamaan lain. -EDISI UKAS