DARO: Pesta Daro 2025 yang akan berlangsung dari 25 Julai hingga 3 Ogos ini dijangka lebih meriah dan tersusun dengan pelaksanaan 26 program utama merangkumi pelbagai aspek pembangunan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, pesta kali ini amat istimewa kerana buat julung kalinya diadakan selepas siap sepenuhnya Jambatan Muara Lassa yang menjadi pemangkin kepada peningkatan kehadiran pengunjung dari luar daerah.
“Walaupun Pesta Daro ini telahpun kita laksanakan tidak kurang daripada 10 tahun yang lepas, tetapi pada tahun ini kita menjangka ianya akan menerima
kujungan yang lebih ramai khususnya daripada orang asing daripada luar Daro,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Pesta Daro 2025 di Pejabat Daerah Daro, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, 26 program yang dirancang meliputi sembilan komponen utama iaitu kebudayaan, kesihatan, pendidikan, sukan, sosioekonomi, keagamaan, keusahawanan, gerai komuniti dan hiburan.
Antara acara utama termasuk Karnival STEM peringkat daerah anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Daro yang akan berlangsung pada 28 Julai melibatkan penyertaan 18 buah sekolah terbaik dari seluruh Sarawak, ujar beliau.
Safiee memaklumkan, majlis perasmian Pesta Daro 2025 akan diadakan pada 26 Julai dan akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menjelas lanjut, beliau memberitahu, pesta ini turut menyaksikan pembukaan 190 lot gerai jualan pelbagai kategori, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi tempatan sepanjang 10 hari penganjuran.
Beliau mengalu-alukan seluruh masyarakat Sarawak untuk hadir memeriahkan Pesta Daro dan menikmati kemudahan baharu melalui penggunaan Jambatan Muara Lassa yang kini menjadi jambatan jalan pesisir terpanjang yang telah siap dibina di negeri ini.
Mesyuarat penyelarasan turut dihadiri Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh, Pegawai Daerah Daro, Zul Usop, serta ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat setempat.-EDISI UKAS