70 Ketua Kaum Terima Warta Seksyen 6 Tanah NCR Kawasan Tulai

Posted on 19 Jul 2025
Source of News: UKAS


BINTANGOR: Seramai 70 ketua kaum dari Kawasan Tulai, Meradong menerima dokumen rasmi pewartaan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dalam satu majlis penyerahan di Dewan Masyarakat Bintangor, di sini, pada Jumaat.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, pengiktirafan dan pemilikan sah tanah NCR merupakan antara komitmen utama Kerajaan Sarawak bagi melindungi hak rakyat, khususnya komuniti Bumiputera yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Pengiktirafan dan pemberian surat hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) adalah satu perkara yang dekat di hati rakyat.

“Jadi, Kerajaan telah mengkaji kaedah bagi mempercepatkan proses penyukatan pengukuran tanah NCR supaya pemilik tanah mempunyai dokumen pemilikan tanah, sempadan tanahnya yang jelas dan tanahnya tidak akan diceroboh,” katanya semas berucap dalam majlis penyerahan tersebiut.

Beliau menjelaskan, Program Pengukuran Tanah NCR yang dimulakan pada tahun 2010 dilaksanakan dalam dua peringkat yang mana peringkat pertama melibatkan pengukuran perimeter dan pewartaan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri serta peringkat kedua pula merangkumi pengukuran lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN).

Datuk Len turut menjelaskan bahawa program ini dilaksanakan secara percuma dan hanya berdasarkan permohonan sah daripada penuntut tanah NCR.

Katanya lagi, mana-mana kes yang masih dalam pertikaian atau perbicaraan di mahkamah tidak akan diukur melainkan telah diselesaikan secara sah.

Beliau menambah, setakat 30 Jun 2025, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak telah berjaya menyukat secara perimeter kawasan tanah NCR seluas 1,204,125 hektar (2.9 juta ekar) di seluruh negeri, dengan 937,655 hektar (2.3 juta ekar) daripadanya telah diwartakan.

Manakala bagi pengukuran lot individu, ujarnya, sejumlah 101,903 lot melibatkan keluasan 121,733 hektar (300,802 ekar) telah diukur, dan 32,614 lot telah dikeluarkan surat hak milik rasmi di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri melibatkan keluasan 44,828 hektar (110,770 ekar).

Dalam pada itu, beliau menyeru kerjasama penuh daripada ketua masyarakat, ketua kaum dan para penuntut tanah NCR untuk memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan efisien.

Beliau turut mengingatkan agar tanah yang telah diiktiraf tidak dijual bagi keuntungan jangka pendek, sebaliknya dimanfaatkan dengan sepenuhnya untuk tujuan pertanian atau pembangunan ekonomi keluarga.

Menurutnya, pelbagai inisiatif dan bantuan daripada Kerajaan untuk membangunkan tanah NCR telah diperkenalkan menerusi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD).

Turut hadir ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, Timbalan Residen Sarikei Badjuri Bidin, Wakil Pegawai Daerah Meradong Ting Kai Siang, Penguasa JTS Sarikei Awan Amal, dan Ketua Polis Daerah Meradong Tansli Mering.-EDISI UKAS