Kelab Tarik Tali Trass Merah Kabong Terima Geran RM8,000 Sertai Pesta Sematan

Posted on 19 Jul 2025
Source of News: UKAS


KABONG: Kelab Tarik Tali Trass Merah Kabong menerima suntikan semangat menjelang penyertaan mereka dalam Pertandingan Tarik Tali sempena Pesta Sematan 2025 apabila menerima sumbangan geran berjumlah RM8,000.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pusat Khidmat ADUN Kabong, di sini, pada Jumaat.

Menurut Dato Mohd Chee, sumbangan berkenaan bertujuan meringankan beban kewangan yang ditanggung kelab bagi menampung kos persiapan, penyertaan dan logistik pasukan ke pertandingan yang dijadual berlangsung dari 25 hingga 27 Julai ini.

“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu pihak kelab dalam menampung kos penyertaan dan logistik.

“Saya juga mendoakan agar Kelab Trass Merah Kabong dapat mencapai kejayaan cemerlang dan terus mengharumkan nama Kabong,” katanya semasa berucap.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas usaha gigih dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh ahli-ahli kelab dalam memperkasakan sukan tradisional seperti tarik tali yang bukan sahaja mencabar dari segi kekuatan fizikal, malah menuntut semangat berpasukan yang tinggi.

Sumber: Pusat Khidmat N40 Kabong