Kerajaan Bantu Memperkasakan Komuniti Desa Melalui Projek Rakan Kebun SKOD

Posted on 19 Jul 2025
Source of News: UKAS


LUNDU: Kerajaan terus menyalurkan bantuan dalam usaha memperkasakan komuniti desa melalui Projek Rakan Kebun Sahabat Komuniti Desa (SKOD) yang menyaksikan penyerahan peralatan pertanian kepada penerima.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, Projek Rakan Kebun SKOD bukan sekadar inisiatif agihan peralatan pertanian, tetapi satu usaha holistik kerajaan untuk memperkukuh ekonomi desa, memperluas semangat kesukarelawanan, serta memperkasakan penduduk luar bandar agar lebih berdikari dan kompetitif.

“Hari ini kita bukan sahaja menyerahkan peralatan fizikal, tetapi juga menyuntik semangat baharu dalam kalangan komuniti, semangat kerjasama, produktiviti dan kemajuan bersama,” ujar beliau semasa berucap dalam sesi penyerahan tersebut pada Jumaat.

Menerusi bantuan ini, beliau yakin bahawa peralatan yang diserahkan akan menjadi pemangkin kepada hasil pertanian yang lebih produktif, seterusnya membantu mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti kehidupan penduduk.

Turut hadir, Penghulu Anderu Simun, Ketua Kaum Kampung Senibong Jamnekel Jahawi serta Pegawai KEMAS Daerah Bau/Lundu Pan Jeswin Liew. -EDISI UKAS