PADAWAN: Usaha meningkatkan kemudahan prasarana luar bandar di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong diteruskan.
Projek pertama iaitu menaik taraf Dewan Serbaguna Kampung Semban dengan dana berjumlah RM100,000 ini merupakan sebahagian daripada peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024 DUN Mambong yang dikendalikan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) selaku agensi pelaksana.
Turut diadakan pada hari yang sama ialah Majlis Penyerahan Tapak Projek Penurapan Jalan BRS ke Kampung Giam Lama, yang turut membabitkan peruntukan bernilai RM100,000 di bawah RTP 2025 DUN Mambong.
Selain daripada itu, dua lagi projek yang menerima peruntukan berjumlah RM100,000 setiap satu ialah Projek Naiktaraf Bilik Gerakan Ladies Guild di Kampung Braang Timurang dan Projek Naiktaraf Rumah Kediaman Paderi Gereja St Paul Bunuk.
Penyerahan tapak kepada wakil kontraktor telah disaksikan oleh Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Keron Mapus.
Kesemua projek ini dijangka akan memberi manfaat besar kepada penduduk sekitar, bukan sahaja dari segi kemudahan asas dan keselesaan, tetapi juga dalam merangsang pembangunan komuniti secara menyeluruh. -EDISI UKAS