KOTA SAMARAHAN: Sistem pendidikan tinggi negara mesti bersifat anjal, berdaya saing dan berpaksikan nilai untuk terus kekal relevan pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Qualifications Agency (MQA), Dato Profesor Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, institusi pengajian tinggi tidak lagi boleh beroperasi dalam kerangka lama.
Sebaliknya, pendekatan baharu yang bersifat terbuka dan responsif terhadap perubahan teknologi serta kehendak pasaran kerja perlu diutamakan.
“Hanya dengan cara ini, barulah institusi mampu melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang relevan dan bernilai tambah, sejajar keperluan dunia kerja yang semakin mencabar dan dinamik.
“Anjakan paradigma dalam pendidikan tinggi adalah satu keperluan mendesak, bukan lagi pilihan kerana graduan masa kini perlu bukan sekadar berilmu, tetapi juga mampu menyesuaikan diri dalam dunia pekerjaan yang tidak menentu dan cepat berubah,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sesi perkongsian ilmu bertajuk ‘Masa Depan Pendidikan Tinggi Negara’ yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, pada Jumaat.
Sesi tersebut telah menarik penyertaan aktif daripada warga kampus, termasuk barisan pensyarah, pentadbir universiti dan para pelajar, yang berpeluang menimba input strategik mengenai hala tuju sistem pendidikan tinggi nasional dalam era transformasi digital dan globalisasi.
Turut hadir, Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr Firdaus Abdullah. -EDISI UKAS