18 Anggota IPD Sri Aman Terima Pengiktirafan Cemerlang, Bukti Komitmen Dan Dedikasi Dihargai

Posted on 19 Jul 2025
Source of News: UKAS


SRI AMAN: Seramai 18 anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis (IPD) Sri Aman hari ini menerima Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024, dalam satu majlis yang berlangsung sempena Perhimpunan Bulanan IPD Sri Aman di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Daerah, pada Jumaat.

Penerima anugerah terdiri daripada seorang Pegawai Kanan Polis, 14 Pegawai Rendah Polis daripada pelbagai pangkat serta tiga Pegawai Awam yang telah menunjukkan prestasi luar biasa, komitmen tinggi, dan dedikasi berterusan dalam tugasan masing-masing sepanjang tahun 2024.

Majlis penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam, yang turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima.

Beliau menegaskan bahawa pengiktirafan ini bukan sahaja penghargaan atas usaha dan kesungguhan, malah menjadi inspirasi kepada seluruh warga IPD untuk terus mengekalkan tahap profesionalisme dan integriti dalam perkhidmatan.

Penerima APC tahun ini juga dilihat sebagai contoh teladan dalam pelbagai aspek termasuk disiplin kerja, keberkesanan tugasan, serta kemampuan menyesuaikan diri dengan cabaran operasi dan teknologi semasa.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Neil Beginda. -EDISI UKAS