KUCHING: Program ‘Siswa Balik Sekolah’ bakal diperkenalkan sebagai usaha awal Kerajaan Sarawak untuk memastikan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) pada tahun 2026 benar-benar memberi manfaat kepada pelajar luar bandar, terutamanya dalam memperkukuh penguasaan dalam subjek teras seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, program ini masih di peringkat awal perbincangan bersama universiti-universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun telah dikenal pasti sebagai mekanisme penting untuk menapis, membimbing dan memperkasa pelajar luar bandar agar mereka tidak tercicir daripada menikmati pendidikan percuma yang bakal dilaksanakan.
“Kalau pendidikan percuma dilaksanakan tetapi tidak sampai kepada pelajar luar bandar, maka ia tidak mencapai matlamat. Pelajar luar bandar mungkin tidak menikmati sepenuhnya peluang ini jika kita tidak sediakan asas yang kukuh dari peringkat rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penghargaan & Penyampaian Bantuan Pendidikan TCS–Yayasan Taqwa di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, menerusi program Siswa Balik Sekolah, universiti dan kolej di seluruh Sarawak akan diminta ‘mengangkat’ satu atau dua sekolah rendah, terutamanya di kawasan luar bandar.
Pelajar institusi pengajian tinggi akan turun padang secara sukarela untuk membantu murid-murid Tahun 3 hingga Tahun 6 dalam mata pelajaran teras.
“Kita mahu pelajar IPT beri semula sumbangan kepada masyarakat. Pelajar universiti akan bantu murid sekolah rendah, fokus kepada Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Program ini juga selari dengan pelaksanaan program DLP (Dual Language Programme) dan minat STEM yang kita mahu tanam sejak awal,” katanya.
Program ini dijangka dilaksanakan secara rasmi tahun hadapan dengan sesi penglibatan akan diadakan sewaktu cuti semester.
Empat universiti telah dikenal pasti untuk memulakan inisiatif ini mengikut zon Swinburne University dan ICATS di zon selatan, UTS di zon tengah, dan Curtin University bagi zon utara Sarawak.
Tambah Dr Annuar, pihaknya kini dalam perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) serta rakan-rakan strategik dalam sektor pendidikan tinggi untuk menyempurnakan pelaksanaan inisiatif ini dalam tempoh enam bulan akan datang.-EDISI UKAS